Kisah ini menunjukkan bukti keagungan amalan istighfar yang sangat besar kesannya terhadap kehidupan kita. Semoga kisah ini dapat menambahkan lagi keyakinan kita terhadap dalil-dalil al-Qur'an dan hadis sehingga kita tetap istiqamah mengamalkannya.
Kisah ini terjadi pada zaman Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullahu.
Pada suatu hari ketika sedang bermusafir, Imam Ahmad singgah disebuah masjid dan bercadang untuk bermalam di situ sahaja. Malangnya, penjaga masjid tersebut tidak mengenali Imam Ahmad dan tidak membenarkankan beliau untuk bermalam di situ, Puas memujuk, namun permintaan Imam Ahmad tetap tidak diendahkan oleh penjaga masjid tersebut. Akhirnya Imam Ahmad terpaksa keluar dari kawasan masjid dan berusaha untuk mencari tempat bermalam di tempat lain.
Dalam masa yang sama, kebetulan lalu seorang penjual roti yang melihat kejadian itu. Sipenjual roti bertanya kepada Imam Ahmad, apa yang sebenarnya berlaku. Setelah diceritakan oleh Imam Ahmad, si penjual roti mempelawa beliau untuk bermalam di rumahnya sahaja pada malam itu. Imam Ahmad berasa gembira dan menerima pelawaan penjual roti tersebut.
Di rumah penjual roti, Imam Ahmad dijamu dan dilayan dengan baik. Walau pun Imam Ahmad merupakan seorang ulama besar, beliau tetap menyembunyikan identitinya daripada pengetahuan penjual roti tersebut. Setelah berbual-bual, penjual roti mempersilakan Imam Ahmad untuk beristirehat sementara beliau pula ingin menyiapkan adunan roti untuk jualan keesokan harinya.
Namun, ada satu perkara yang menarik perhatian Imam Ahmad. Beliau memerhatikan si penjual roti itu tidak putus-putus beristighfar sepanjang masa membuat roti, dari awal hinggalah kerja-kerjanya selesai. Sebagai seorang ulama yang sangat tinggi ilmunya, beliau sedar tentang keutamaan beristighfar dan fadhilat yang besar bagi yang bersungguh-sungguh mengamalkannya.
Pada keesokan harinya, Imam Ahmad pun bertanya kepada penjual roti
"Semalam terdengar olehku lantunan istghfar yang terus menerus engkau baca ketika engkau sedang membuat adunan roti. Katakanlah kepadaku wahai tuan, apakah engkau mendapat sesuatu dari bacaan istighfar yang engkau baca?".
Si pembuat roti lalu menjawab,“Ya.. Begitulah adanya.. Sungguh saya benar-benar telah mendapatkan faedah dari keutamaan melazimkan istighfar. Demi Allah, sejak saya melazimkan istighfar, tidak ada doa saya yang tidak dikabulkan oleh ALLAH.. Hanya ada satu doa saya yang belum terkabul sampai saat ini.”
Imam Ahmad bertanya, “Apa itu?”
Si penjual roti berkata, “Doa untuk dapat bertemu dengan Imam Ahmad bin Hanbal!”
Mendengar jawapan tersebut, Imam Ahmad tersenyum. Kini beliau mengerti hikmahnya penjaga masjid tidak membenarkan beliau untuk bermalam di masjid malam sebelum itu. Allah berkehendak mengabulkan doa si penjual roti dengan perantara peristiwa semalam
Lalu Imam Ahmad berkata,“Wahai tuan, Saya-lah Ahmad bin Hanbal. Demi Allah, DIA-lah yang mengaturku sehingga dapat bertemu denganmu.”
Subhanallah. Begitu istimewanya istighfar ini sehingga Allah berkenan untuk mengabulkan setiap permohonan dari hamba-Nya.
Teringat akan kisah Nabi Yunus alaihissallam. Dimana ketika baginda dihukum oleh Allah dengan cara ditelan oleh ikan nun di dasar laut. Waktu itu Nabi Yunus tidak henti-henti memohon ampun dengan lafaz "Laa Ilaaha ila anta, subhanaka inni kuntu minad dzholimiin" hinggalah baginda dikeluarkan dari dalam perut ikan tersebut.
Benarlah istighfar dapat menjadi amalan pembuka pintu rezeki yang sangat mustajab. Semoga kisah ini dapat menjadi penguat keyakinan kita akan janji Allah kepada hamba-hambaNya.
Wallahu 'alam
Ingin tahu kisah-kisah lain tentang keajaiban istighfar? Pastikan anda terus bersama kami :)
